Sejak mula ketibaan atlet luar pada bulan lalu, sudah ada kes positif dilaporkan yang membabitkan seorang jurulatih dan atlet dari Uganda.

Semalam, skuad ragbi wanita Russia pula perlu menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada juruurut mereka yang sah dijangkiti pandemik itu.

Ia membabitkan kes dari luar ke Tokyo, tapi dua hari lalu juga dilaporkan kes tempatan yang mengaitkan pekerja di hotel penginapan kontinjen Brazil dan ujian calitan ke atas kontak rapat dijangka meningkatkan lagi jumlah kes di lokasi itu.

Lebih ramai atlet daripada sukan itu diletakkan dalam senarai kontak rapat termasuk atlet, pegawai dan kontraktor yang diarah menjalani kuarantin di luar perkampungan sukan.

Bagaimanapun, tiga kes positif COVID-19 itu tidak membimbangkan jurulatih pelayaran, Mohd Affendy Abdullah, berikutan skuad negara tidak berada di perkampungan atlet yang sama.

Difahamkan, penganjur mengesan awal kes yang melibatkan pegawai yang menetap di sebuah hotel, di mana terdapat kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat telah dilaksanakan bagi memastikan situasi itu tidak menimbulkan kegusaran terhadap keselamatan kem pelayaran negara yang sedang berlatih di Enoshima Yacht Harbour.

"Kami tidak bercampur dengan perkampungan sukan yang utama.

"SOP di sini terjamin, saringan dibuat dengan betul. Setiap hari akan ada ujian calitan.

"Jadi penganjur mahu memastikan semua orang dalam kesihatan yang baik.

"Hari-hari kami diperingatkan mengenai pemakaian pelitup muka dan sanitasi," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Sementara itu, Affendy turut berkongsi perkembangan sesi latihan akhir skuad negara sebelum acara pelayaran membuka tirai lebih awal, 25 Julai ini.

Skuad pelayaran negara dibarisi Khairulnizam Mohd Afendy yang akan mencabar acara laser lelaki termasuk Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita) serta Nuraisyah Jamil-Juni Karimah Noor Jamali untuk International 470 wanita.

"Kami sedang membuat pelarasan bagi memastikan dapat kelajuan yang elok.

"Layar di sini akan ditampal pelekat yang agak tebal dan besar, ia tidak sama dengan layar harian yang kami gunakan sebelum ini.

"Jadi kami perlu sesuaikannya agar mendapatkan kelajuan yang elok," katanya lagi.