Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tampil mempertahankan diri dengan menyifatkan keputusan yang diambil Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk menyingkirkan mereka daripada menjadi sebahagian ahli gabungan badan induk asia itu sebagai kejam dan tidak berlandaskan perlembagaan.

Presiden PSM, Daruk Seri Ahmad Ismail, kekal utuh dengan prinsipnya bahawa tindakan yang dilakukan ASTAF itu tidak sah.

Katanya, ASTAF langsung tidak mengemukakan dokumen yang berkaitan kepada PSM untuk menjawab segala pertuduhan yang dikenakan.

Sebagai rekod, Ahmad telah digantung selama 15 tahun oleh ASTAF dan PSM juga turut digantung sementara sejak 28 April lalu.

Keadaan itu turut menimbulkan permasalahan secara domestik apabila setakat hari ini, sembilan persatuan negeri telah menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM dengan memberikan naratif sama, hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PSM selepas dipalit kontroversi dan digantung ASTAF.

Bagaimanapun, Ahmad tidak gusar dengan perkembangan terbaru itu, sebaliknya menededahkan bahawa PSM akan mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bersama baki ahli gabungan persatuan itu.

"Biarlah mereka menjalankan apa yang mereka rasa boleh tetapi sekiranya mereka menganggap bahawa itu keputusan mereka, kita tunggulah apa pula keputusan mahkamah," katanya kepada Nadi Arena.

"PSM akan mengadakan mesyuarat agung dalam masa terdekat ini berdasarkan beberapa persatuan yang tinggal."