Simona Halep layak ke final pertamanya bagi tahun 2021 selepas menewaskan Marta Kostyuk dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Transylvania awal pagi tadi.

Halep kini layak ke final WTA buat musim ke-12 berturut-turut selepas mudah mengatasi lawan remaja itu dengan kemenangan 6-0, 6-1.

Juara grand slam dua kali itu bertemu Kostyuk dalam Kejohanan Terbuka Indian Wells tiga minggu lalu dan perlu mengerahkan keringat dalam set pertama sebelum meraih kemenangan straight-set.

Bagaimanapun, keadaan ternyata berbeza dalam pertemuan di Cluj kali ini, di mana Halep mara bergaya ke final di negara kelahirannya, Romania, buat kali ketiga sepanjang kariernya selepas turut memenangi dua gelaran Terbuka Bucharest.

"Saya benar-benar mahu ke final di sini. Ini adalah rumah saya dan setiap kali saya berada di sini, saya berasa hebat.

"Saya benar-benar gembira, bermotivasi dan tidak sabar untuk beraksi dalam final esok.

"Saya menang dua kali di Bucharest dan harap-harap esok akan menjadi gelaran ketiga (di Romania).

"Jika tidak, ia tetap satu keputusan yang baik dan saya amat gembira kerana dapat pulang ke negara sendiri," katanya.