Tekong tinggi lampai, Syahir Rosdi, bersedia menghadapi apa jua ujian asalkan dapat menyarung semula jersi kebangsaan.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) semalam mengumumkan bahawa Syahir merupakan antara nama yang akan dipanggil bagi menjalani ujian pemilihan skuad kebangsaan.

Dua tahun lalu, tekong Kuala Lumpur Thunder itu terlepas peluang untuk beraksi dalam Sukan SEA Filipina selepas digantung PSM bersama seorang lagi tekong, Zulkifli Abdul Razak, berikutan masalah disiplin tetapi dia kini sudah melupakan insiden itu dan bersedia untuk merebut kembali posisinya dalam kem negara.

"Perasaan itu masih membara dan sekiranya diberikan peluang kedua, saya harap dapat memberikan yang terbaik.

"Ia bukan geram tetapi lebih kepada gian untuk bermain sepak takraw. Sedangkan tidak dapat bermain sepak takraw kerana cuaca hujan pada petang hari juga sudah memberikan kesan, apatah lagi jika digantung sembilan bulan.

"Demi bendera di dada, saya perlu melupakan apa yang telah berlaku," katanya.