Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan Liga Sepak Takraw (STL) selepas mencapai kata putus dalam mesyuarat ahli majlis tertinggi hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan berhubung larangan penggunaan pengadil tempatan serta pemain import di bawah naungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz, yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan menjelaskan, Malaysia memiliki barisan pengadil kebangsaan yang mencukupi bagi mengendali saingan STL.

Tambah Akramuddin, tiada sebarang isu berkaitan pengambilan pemain import memandangkan pemain yang didaftarkan untuk beraksi terletak di bawah status kelab bukannya kebangsaan.

"Mesyuarat hari ini yang diputuskan oleh ahli majlis tertinggi memutuskan STL akan tetap diteruskan seperti yang dirancangkan walaupun mendapat surat daripada ASTAF -- yang tidak membenarkan seramai 31 pengadil (di bawah) ASTAF dan ISTAF untuk mengadili pertandingan ini.

"Mereka kena tahu bahawa di Malaysia ada pengadil peringkat kebangsaan, iaitu pengadil kelas satu hingga tiga yang akan mengadili Liga Perdana STL.

"Liga Divisyen Satu STL juga akan diadili oleh pengadil di peringkat kebangsaan," katanya dalam sidang media hari ini.

Mesyuarat itu turut memuktamadkan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan baru badan induk berkenaan pada 12 Februari depan.

"Mesyuarat ini perlu dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan -- kononnya ada kemelut dalam PSM.

"Bagi saya ia bukan kemelut, banyak negeri sudah bersama kami dan hanya tiga negeri lagi tidak bersama dengan kami.

"Kemungkinan mereka akan menyertai kami apabila ada kepimpinan baru kelak.

"Kepimpinan hari ini tiada masalah tetapi kami diheret untuk menghadapi masalah."