Selangor Pistons dan Johor Tigris menampilkan aksi sengit dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) sebelum diheret ke set penentuan.

Johor yang dibarisi Faisal Fuad, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin mendahului dengan jurang besar dan seakan menang set pertama dengan mudah.

Namun Selangor yang dibarisi Zuhri Zain, Farhan Adam dan Amirul Syafiq berjaya bangkit dan mengutip mata demi mata dan berjaya mengikat kedudukan kepada 12-12.

Tapi selepas itu permainan Johor diperkemaskan dan meneruskan dominasi sekaligus menang set pertama 21-14.

Cerita berbeza dalam set kedua selepas Selangor garang mempamerkan rentak selepas mendahului 14-5, lebih tajam dan berbisa di set ini, perbezaan ketara berbanding set pertama dan memberi saingan kepada Johor.

Mungkin tersentak, Johor gagal menyekat rejaman Selangor dan set kedua akhirnya menjadi milik Selangor 21-14.

Perlawanan diheret ke set penentuan yang begitu sengit kedudukan terikat 20-20 dan Johor berjaya melakukan servis dengan baik sekaligus mencatatkan kemenangan 24-22.

Sementara itu dalam satu lagi aksi STL menyaksikan pertembungan Kelantan Warriors turun menentang Penang Black Panthers.

Membariskan Eqbal Shamsudin selaku perejam, Adam Aiman sebagai tekong dan juga Aidil Aiman yang juga ketua pasukan, Kelantan menampilkan aksi berbeza.

Gabungan itu pantas menyerap tekanan dan berjaya mendahului Penang dengan jurang selesa.

Dengan halangan mampan serta rejaman berbisa Eqbal, Kelantan Warriors berjaya menumbangkan Penang 21-14 dalam set pertama.

Kebangkitan diharapkan daripada Penang yang dibarisi Mazrul, Zarif dan juga Nazhan meresahkan Kelantan dalam set kedua.

Kedudukan semakin getir ketika terikat 19-19 namun beberapa kesilapan Penang menyaksikan Kelantan menang 21-19.