Putrajaya Cyborg terpaksa bermandi keringat sebelum mengatasi tentangan sengit daripada MASUM-UPM Knights untuk mara ke perlawanan akhir Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) 2020, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Titiwangsa itu, MASUM-UPM mengejutkan lawan dengan merampas set pertama 21-17.

Bagaimanapun, Putrajaya yang sempat mengadakan sesi pemanas badan dengan Kuala Lumpur Thunders, kembali memperkemaskan permainan untuk mengheretkan pertemuan separuh akhir itu ke set penentuan melalui kejayaan 21-13.

Ketika di penghujung set ketiga, pengadil beberapa kali menegur kedua-dua regu agar tidak melengahkan permainan.

Situasi itu berlaku berikutan kedua-dua pasukan cuba menenangkan keadaan selepas saling mengutip mata sambil MASUM-UPM mengambil risiko dengan mengetengahkan tekong, Syahril Rosdi, sebaik terikat 23-23.

Dalam kedudukan dius itu, ketenangan dan tuah mengiringi Putrajaya apabila menoktahkan pertarungan selama 44 minit itu menerusi rejaman Muslim Mohammad.

Kejayaan itu menyaksikan mereka akan berentap dengan Bomba Fighters bagi penentuan juara, malam esok.