Selepas akur kalah kepada Kuala Lumpur Thunder 2-1, Perak Bison mahu mencari tonik kebangkitan dengan menumpaskan Selangor Pistons dalam aksi kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, malam ini.

Ketua Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, menyifatkan kemenangan ke atas skuad Merah Kuning itu penting bagi mengembalikan keyakinan dan moral pemain.

"Saya akur dengan kekalahan kepada skuad Warga Kota biarpun pemain telah mencuba yang terbaik untuk mencipta kemenangan.

"Itu adalah aksi pertama kami dan saya lihat Perak Bison masih gagal menguasai suasana pertandingan berbanding lawan yang sudah beraksi pada Jumaat lepas.

"Namun, saya melihat pemain perlu lebih fokus untuk mencari kemenangan bertemu Selangor Pistons sebagai tonik terbaik untuk bangkit menyerlah," katanya.

Ismi Hissan yang berjaya membawa Perak menjuarai Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu, Julai lalu, tidak mahu terburu-buru merombak regu tersebut, sebaliknya mahu menilai tahap kecergasan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya akan tengok tahap kecergasan pemain sebelum membuat sebarang keputusan.

"Lagipun, semua pemain yang kita bawa memiliki semangat juang yang tinggi dan ada kelebihan masing-masing," katanya.

Ditanya kekuatan Selangor Pistons, Ismi Hissan tanpa berselindung mengakui pengalaman adalah senjata utama skuad Merah Kuning itu.

"Mereka (Selangor Pistons) memiliki apit kiri terbaik negara, Farhan Adam, dan pelibas utama, Nor Shaharudin Mat Ghani.

"Satu pertemuan yang menarik dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan keluar sebagai pemenang," katanya.