Pemain sepak takraw negara lega dengan jaminan akan tetap dibenarkan menyertai Sukan SEA Hanoi dan Sukan Asia Hangzhou pada tahun depan jika mengambil bahagian dalam Liga Sepak Takraw (STL).

Ia susulan larangan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) terhadap pemain import dan pengadil dibawah badan induk itu untuk menyertai saingan domestik yang bermula 7 Januari 2022.

Tetapi jaminan yang diberikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) , semalam, meningkatkan keyakinan barisan pemain negara untuk sekurang-kurangnya mempertahankan satu pingat emas Sukan Asia.

" Kami mengharapkan dapat menunjukkan permainan yang baik sebab ada sokongan dari belakang.

"Kami harap dapat lakukan yang terbaik dalam Sukan SEA 2022," kata apit kiri negara, Farhan Adam.




Dalam masa sama, ketua pasukan Selangor Pistons itu tetap yakin kelabnya tidak perlu berasa kedil selain mampu memberikan cabaran sungguhpun masih mempertaruhkan barisan muda.

"Saya penuh dengan keyakinan sebab dengan pemain yang ada, kami dapat berikan saingan kepada pasukan negeri lain yang lebih kuat.

"Kami perlu naikkan bakat baru . Mungkin ada seorang dua daripada mereka yang akan menyerlah pada satu hari kelak," katanya lagi.