Pemain Perak Bison diingatkan supaya menjaga nama negeri dan menunjukan semangat kesukanan yang tinggi dalam Liga Sepak Takraw (STL) bermula Jumaat ini.

"Tunjukkan semangat kesukanan tulen dan hidupkan suasana harmoni dalam sukan.

"Sukan tercipta untuk merapatkan silaturahim dan bukannya untuk bergaduh.

"Sepak takraw adalah sukan tradisi orang Melayu, jadi adab kena ada.

"Menang atau kalah adalah adat pertandingan tetapi apa yang lebih penting, kita mesti ada perasaan bangga, kesungguhan untuk berjaya serta menjaga adab, sikap dan perbuatan setiap kali menyarung jersi negeri," kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam pertemuan dengan pasukan Perak Bison hari ini.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar itu diketuai pengurus bersama pasukan, Mohd Jaffrey Mohd Zainol dan Syamsul Istar Ibrahim Istar.

Perak Bison, yang dibimbing jurulatih, Ismi Hissan Ismail, akan memulakan cabaran menentang Terengganu Turtles pada Sabtu ini sebelum diuji juara bertahan, Penang Black Panthers pada hari Ahad.

Cabaran minggu pertama akan berlangsung di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Malah, Stadium MABA menjadi medan pertarungan selama tiga minggu sebelum berpindah ke Spice (Arena) Pulau Pinang pada minggu keempat.

Mohd Jaffrey berkata persiapan Bison berjalan lancar dan pasukan itu bersedia untuk memberi cabaran dalam kejohanan edisi kali ini.

Perak berwajah baru dengan kehadiran tekong dari Thailand, Surasit Phukbuangern dan Nattawhut Naewprom.

Bagaimanapun, Surasit akan menggalas cabaran di awal kempen kerana Nattawhut hanya akan menyertai Perak selepas 28 September ini.