Tekong KPT-Masum Knights, Zuhri Muhammad Zain, memasang impian untuk menjulang pasukannya dalam saingan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) musim 2023 meskipun sedar turun dengan status sebagai pendatang baru.

Zuhri yang sebelum ini bersama Selangor Pistons percaya tanpa kelibat tonggak import tidak mustahil skuad kendalian Ahmad Sufi Mohamed Hashim itu mampu memberikan cabaran buat pasukan gergasi seperti Johor Tigris, KL Thunder dan Perak Bison.

Tekong kelahiran Gombak itu turut berharap tahun ini bakal menjadi tahun terbaik buat dirinya selepas tidak dapat menyertai skuad kebangsaan ke Sukan SEA Kemboja atas faktor berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah.

"Kekuatan sebenar kami adalah keserasian dalam pasukan.




"Kami sudah terbiasa main dalam perlawanan membabitkan peringkat universiti.

"Biarpun hampir semua pasukan menggunakan tenaga import tapi kami percaya kemampuan pemain tempatan hasil latihan yang dijalankan sudah agak lama.




"Saya cuba perbaiki kelemahan musim lalu, Insya-Allah mana tahu boleh bergelar tekong terbaik musim ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Untuk rekod, Zuhri antara watak penting yang membantu skuad kebangsaan ketika meraih pingat perak dalam Sukan SEA Vietnam 2021 menerusi acara regu berpasukan di samping bantu Johor menamatkan kemarau 56 tahun menjulang kejuaraan Piala Emas Khir Johari, Disember lalu.