Kerinduan peminat untuk menonton aksi terunggul Sepak Takraw League (STL) bakal terubat apabila STL musim 2021/22 dijadualkan akan kembali bermula pada Januari 2022 nanti.

Kemeriahan STL dirancakkan dengan kehadiran serta kolaborasi daripada beberapa rakan penaja termasuklah penajaan terbaru daripada syarikat perniagaan jual beli emas terkenal daripada Kedai Emas Anuar.

Buat julung kalinya, edisi ke 8 STL kali ini mendapat sokongan Penaja Utama Rasmi dan akan dikenali sebagai Emas Anuar STL 2021/22. Perjanjian penajaan selama setahun ini meliputi pertandingan STL Divisyen 1, STL Premier League dan juga STL Champion Cup.

Pengarah Urusan Kedai Emas Anuar, Mohd Khurulanuar Mhamad Noor meluahkan rasa terujanya menjadi syarikat emas pertama yang menjalin kerjasama besar seperti ini, sekaligus merancakkan lagi industri sukan tanahair.

“Kami sedar potensi STL yang dilihat semakin berkembang dan bukan hanya menjadi bualan peminat tempatan malah di Asia Tenggara. Senario sukan sepak takraw kini dilihat, turut menarik perhatian pihak penyiaran luar negara, dalam usaha lonjakan jenama STL ke peringkat antarabangsa.

“Dengan komitmen bersama STL ini, kami berharap dapat memperkukuhkan dan memperluaskan lagi jaringan perniagaan serta jenama kami bukan hanya di peringkat tempatan malah hingga ke pasaran global”.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John menganggap inisiatif Kedai Emas Anuar menjalin kerjasama ini bakal membuka era baru untuk lebih ramai penaja tempatan lain tampil untuk menjadi sebahagian daripada keluarga STL nanti.

“Kami yakin, kolaborasi pertama bersama Kedai Emas Anuar ini akan menjadi landasan buat penaja tempatan lain hadir memberi sokongan sekaligus menepati usaha Astro dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk mengangkat martabat serta pembangunan sukan tradisi ini di setiap peringkat bukan hanya tempatan malah hingga ke antarabangsa.

“STL turut melebarkan sayapnya apabila ditayangkan di Amerika Syarikat melalui kerjasama bersama stesen penyiaran di negara itu iaitu daripada All Sports Television Network. Kami berharap lebih ramai badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa, dapat bersama-sama berganding bahu dalam memperkasakan lagi sukan tradisional ini,” katanya”.

Antara penaja lain yang terus kekal komited menjadi rakan penaja untuk musim akan datang termasuk jenama barangan dan pakaian terkenal dari China iaitu Li-Ning sebagai penaja pakaian rasmi STL, syarikat pengeluar minyak enjin terbesar dari Jepun iaitu Idemitsu sebagai penaja minyak pelincir Rasmi STL.

Sementara dua lagi penaja baru adalah daripada penerbitan media cetak, Utusan Malaysia sebagai Rakan Media Rasmi STL dan syarikat penjagaan kesihatan terbesar Malaysia, BP Healthcare menjadi Rakan Medik Rasmi STL.

Saksikan semua 130 perlawanan STL musim 2021/22 pada Januari 2022 nanti di Astro Arena
(Saluran 801) atau layari aplikasi Astro Go.