Johor Tigris meneruskan rentak cemerlang dengan mengatasi PDRM Defenders dalam aksi sengit Liga Sepaktakraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Mereka bermula baik menerusi empat mata pertama sebelum PDRM Defenders mengejar dengan meraih tiga mata.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharom itu terus mendahului walaupun PDRM Defenders beberapa kali merapatkan kedudukan dalam aksi di pertengahan set pertama.

Namun, Johor Tigris tidak berdepan masalah memastikan kemenangan set pertama 21-11 dalam aksi yang berlangsung selama 15 minit.

Cerita berbeza ditampilkan dalam set kedua apabila PDRM Defenders mula memaparkan taring sebenar untuk mendahului perlawanan.

Saingan terus sengit selepas itu dengan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan jurang yang tidak lebih daripada dua mata.

Dalam keadaan cemas di penghujung set, PDRM Defenders tidak mensia-siakan peluang mengheret saingan ke set penentuan menerusi kemenangan 22-20.

Aksi set ketiga menyaksikan penguasaan Johor Tigris yang jauh mendahului 11-2.

Walaupun PDRM Defenders cuba mengemaskan permainan, namun sudah terlambat untuk menghalang Johor Tigirs menoktahkan cabaran 21-8.