Johor Tigris meraih kemenangan kelima selepas menewaskan pasukan tercorot, Melaka Titans, dalam aksi sengit Liga Sepaktakraw (STL) di Cyberjaya, sebentar tadi.

Kemenangan 2-0 itu meletakkan Johor Tigris semakin hampir di belakang Kuala Lumpur Thunder dan Penang Black Panthers di kelompok atasan liga dengan mereka kini hanya dipisahkan dengan empat mata.

Barisan pemain Johor Tigris yang dibarisi Azman Hamid, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin, sudah melupakan kekalahan kepada Penang Black Panthers minggu lalu dengan menjadikan Melaka Titans sebagai mangsa kebangkitan mereka.

Menerusi corak permainan bertenaga, Johor Tigirs tidak memberikan ruang buat Melaka Titans untuk memenangi set pertama dengan kemenangan 21-16.

Bagaimanapun, Melaka Titans yang dibarisi Sahidan Ali, Hasif Yusof dan Hafizzudin Naharuddin, bangkit dalam set kedua untuk memberikan saingan dalam usaha mereka mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi sengit dipersembahkan kedua-dua pasukan pada ketika Johor Tigirs hanya mendahului dengan perbezaan dua mata pada kedudukan 18-16.

Melaka Titans terus memberikan tekanan sehingga kedudukan 19-20, namun mereka terpaksa akur merelakan kemenangan 21-19 memihak Johor Tigris.