Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, berpuas hati dengan persiapan anak buahnya bagi menghadapi kempen Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, Kuala Lumpur bermula esok.

"Persiapan berjalan lancar dan latihan intensif diadakan sejak selepas sambutan Hari Raya Haji lalu pada sebelah petang dan malam.

"Pemain sudah bersedia untuk menghadapi kempen kali ini. Saya berharap segala apa yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Malah, Ismi melihat perkembangan positif apabila wujud persaingan sihat dalam kalangan anak buahnya, terutama di bahagian tekong, berikutan pengambilan tekong dari Thailand, Surasit Phukbuangern dan Nattawhut Naewprom.

"Kehadiran tekong dari Thailand itu menyaksikan pemain tempatan, terutama Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, bangkit serta menunjukkan kesungguhan semasa latihan.

"Ini adalah petanda positif buat Perak kerana ia akan meningkatkan lagi keupayaan kami di bahagian tekong yang menjadi masalah tahun lalu," tambahnya.

Selain itu, Perak menerapkan pendekatan baru dalam usaha meningkatkan kemantapan mental, jasmani dan rohani pemain.

"Tiga aspek itu penting dalam pembangunan insaniah. Justeru, pemain Bison menjalani kursus motivasi selain latihan biasa dalam usaha meningkatkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan anggota pasukan," tambahnya lagi.

Begitupun Ismi sedar tiada yang dapat mengatasi ketentuan dan perancangan Yang Maha Esa.

"Kami akan mencuba untuk mencapai sasaran, iaitu menduduki dua tempat teratas.

"Manusia hanya boleh merancang dan berusaha, selebihnya terserah kepada Yang Maha Esa," ujarnya.