Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, berharap pengadil dalam Liga Sepak Takraw (STL) lebih prihatin mengenai undang-undang sukan itu.

Apa yang lebih penting, Ismi mahu pegawai perlawanan bertindak adil dalam menghakimi sesuatu perlawanan.

"Selaku pengadil, seseorang itu perlu bertindak adil dan tidak memihak kepada mana-mana pasukan walaupun yang bermain ketika itu adalah anaknya sendiri," katanya.

Ismi membuat teguran itu berikutan berlaku beberapa keputusan kontroversi dalam perlawanan pasukan itu dengan Johor Tigris serta beberapa perlawanan lain dalam saingan hari ketiga minggu kedua STL di Stadium MABA, Kuala Lumpur, semalam.

"Pengadil kena ikut undang-undang dan bersikap adil kepada kedua-dua pasukan.

"Tindakan pengadil memihak kepada mana-mana pasukan akan menjejaskan semangat pemain dan merosakkan permainan kerana kecewa tidak diberikan pengadilan yang betul.

"Pengadil adalah hakim, jadi perlu mengadili perlawanan tanpa sikap pilih kasih.

"Saya bukan bercakap bagi pihak Perak Bison sahaja tetapi buat keseluruhan warga STL.

"Saya minta pengurusan dan penganjur STL melihat perkara ini dan memperbaiki mutu pengadilan," katanya lagi.

Mengenai perjalanan edisi ini, Bison setakat ini merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan.

Ismi berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan semangat juang kental walaupun tumpas 1-2 di tangan Johor Tigris, semalam.