Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, berharap anak buahnya tidak bersikap terlalu yakin apabila turun bertemu Sabah Mountaineers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.

Bagi Ismi, sikap sedemikian hanya akan mengundang masalah kerana akan membuat pemain leka dan bersikap sambil lewa.

Malah, jurulatih itu mengingatkan anak buahnya tentang kesukaran dihadapi mereka ketika bertemu Sabah dalam pusingan pertama pada minggu kedua di Stadium MABA.

Bison terpaksa berhempas pulas sebelum menang 25-24, 19-21, 21-14 dalam pertemuan pada 14 September lalu.

"Saya berharap pemain tidak memandang rendah keupayaan lawan walaupun Sabah adalah pasukan tercorot dalam STL Liga Premier.

"Saya bimbang sikap terlalu yakin itu akan memakan diri, " katanya mengulas mengenai perlawanan ke-14 Bison dalam kempen minggu ketujuh STL itu.

Hakikat bahawa Sabah menumpaskan ATM Defenders dalam saingan di Gem In Mall, Cyberjaya minggu lalu membimbanglan jurulatih itu terhadap kebangkitan lawan.

"Kami tidak boleh anggap mudah pertemuan ini. Sabah tengah bersemangat sslepas merakam kejayaan pertama mereka.

"Saya berharap pemain Bison kekalkan momentum dan mempamerkan kemampuan mereka seperti sebelum ini," katanya.

Perak ketika ini menduduki tangga kedua di belakang Penang Black Panthers. Kedua-dua pasukan, yang terikat dengan 20 mata, dijangka bersaing untuk merebut gelaran.