Debaran saingan Liga Sepak Takraw (STL) makin terasa menuju ke saingan yang membua tirai esok dengan pasukan terlibat membuat persiapan terakhir khususnya selepas mendapat lampu hijau menggunakan import.

Perak Bison bakal memulakan perhitungan pertama musim ini menentang seteru Pantai Timur, Kelantan Warriors.

Namun kelegaan buat skuad seladang apabila tekong import, Anuwat Sombatdee, sudah dapat lampu hijau dan sedia diturunkan untuk menghadapi trio berbisa Kelantan yang ditunjangi Aidil Aiman Azwawi, Zulkifli Abd Razak serta perejam berbisa, Fadzli Roslan.

Anuwat bakal jadi taruhan terbaik Perak yang mengidam kemenangan dalam perlawanan pembukaan mereka pada Sabtu.

"Saya berasa gembira kerana akhirnya saya dapat beraksi dalam STL, jadi saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk majikan saya, dan saya akan memastikan pasukan saya berjaya dalam saingan ini," katanya.

Turut sama teruja untuk memulakan aksi pertama mereka, merupakan bekas juara 2018, Penang Black Panthers.

Berbeza dengan Perak, Penang mungkin terpaksa melupakan khidmat import, Aeekasit Naphon untuk aksi pertama minggu ini memandangkan pemain itu masih komitmen dengan kelab di Thailand dan selewat-lewatnya hanya akan menyertai skuad mutiara pada minggu kedua saingan.

Bagi Negeri Sembilan Antlers, mereka mendapat suntikan moral apabila kerajaan negeri sedia memberikan ganjaran menarik buat skuad Rusa seandainya berjaya bawa pulang kejuaraan buat julung kalinya ataupun mara ke final Liga Juara-Juara STL.

Tahun lalu Negeri Sembilan mencipta kejutan menamatkan saingan di tangga keempat liga.

Negeri Sembilan mempertaruhkan lapan pemain, dan tiga daripadanya muka baru, antara dua pemain muda yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (Sukma), Nur Fahmee Abd Jalil dan Zul Aqil Ikram.