NEGERI SEMBILAN ANTLERS 1 ATM GUARDIANS 2

Aksi kejar-mengejar menghiasi pertemuan Negeri Sembilan Antlers dan ATM Guardians dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) sebelum memihak Guardians yang merekodkan kemenangan keempat dalam aksi tiga set di Stadium MABA sebentar tadi.


Semangat membara untuk meneruskan rentak kemenangan jelas terpancar dalam permainan kemas pemain Guardians yang berjaya mencalar rekod tanpa kalah pendahulu, KL Thunder semalam.

Bagaimanapun, mereka dihadirkan tentangan sengit oleh anak buah Isa Sidek itu sebelum boleh menutup set pertama 21-17.

Saingan lebih sengit ditampilkan trio Antlers yang dibarisi Zuleffendi Sumari, Mohd Nasiruddin Majur Ahmad dan Hafizul Hayazi Adnan dalam set kedua.

Mereka mengejar Guardians yang jauh mendahului sehinggalah terikat 17-17, sebelum saling bertukar mata untuk permainan dibawa ke set penentuan menerusi kemenangan 22-20.

Skrip hampir sama dalam set ketiga, permainan sekali lagi dipimpin Guardians yang terus meraih mata demi mata, namun kesilapan Antlers di hujung permainan memberi kelebihan buat Guardians menoktahkan cabaran dengan kemenangan dengan keputusan 22-20.

Sementara itu, pertemuan Perak Bison dan Sabah Mountaineers berlangsung penuh dramatik dengan kedua-dua pasukan mempertaruhkan tekong berbisa dari Thailand, Surasit Phukbuangern dan Wiraphong Phukoet dengan misi sama iaitu rekod kemenangan kedua musim ini.

Tidak hairanlah saingan sengit sebaik set pertama dimulakan sehinggalah kemenangan perlu ditentukan menerusi mata maksimum yang memihak Bison 25-24.

Momentum sama berlarutan dalam set kedua apabila pendatang baru musim ini mengikat permainan pada mata ke-19 sebelum menemui sentuhan terbaik dalam membutirkan tiga mata berturut-turut untuk kembali mengimbangkan permainan dengan kemenangan 21-19.

Set penentuan menyaksikan Bison melakukan kebangkitan dengan memimpin permainan 16-8, sebelum menokhtahkan kemenangan mutlak dengan keputusan 21-14.

Keputusan lain:

TERENGGANU TURTLES 0 KELANTAN WARRIORS 2

PENANG BLACK PANTHERS 2 KL THUNDER 1