Tekong berpengalaman negara, Zulkifli Abdul Razak, berharap semua pihak memahami situasinya yang sudah dua tahun tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan sepak takraw kompetitif.

Sobey bakal mewarnai Kelantan Warriors pada musim depan selepas kali terakhir beraksi di pentas Liga Sepak Takraw (STL) menerusi edisi 2018.

"Sebenarnya saya bermain dengan Terenggan (Turtle) sebelum ini tapi disebabkan ada urusan dengan persatuan dan Kelantan pula ajak saya main, saya terima sahajalah.

"Apabila seorang pemain berhenti beraksi selama dua tahun, memang mencabarlah. Tambahan pula dalam suasana COVID-19, tidak ada kejohanan diadakan.

"Saya betul-betul berhenti bermain selama dua tahun, jadi ini satu cabaran untuk saya kembalikan prestasi," katanya yang pernah menjulang kejuaraan dalam STL 2014.




Dia berikrar untuk bekerja keras bersama kelab Pantai Timur itu yang turut membariskan Fazli Roslan, Aidil Aiman Azwawi, Wan Naim Izani Wan Noor dan Eqbal Shamsuddin.

"Saya sudah lama beraksi di samping Fazli tapi dikira masih baru dengan Aidil Aiman.

"Kami juga ada pelibas muda yang bagus seperti Wan Naim dan Eqbal.

"Saya tidak (berani) letak harapan tinggi tapi saya akan cuba bawa Kelantan ke peringkat yang seterusnya."