Bomba Fighters mencatat kemenangan sulung dalam pembabitan pertama Divisyen 1 Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) apabila menjadikan Kedah Eagles sebagai mangsa.

Kedua-dua pasukan gagal melakar kemenangan dalam hari pertama saingan, sehubungan itu mereka turun dengan misi untuk meraih mata.

Bomba, yang mempertaruhkan perejam, Afiq Ramli , tekong; Irsyad Faiz -- yang pernah bersama Terengganu Turtles pada 2018 -- dan apit kanan merangkap ketua pasukan, Razman Raof.

Kedah Eagles pula menyandarkan harapan kepada kapten dan feeder, Sobree Samsuddin; tekong, Faris Syazwan, dan Faris Salleh (perejam).

Pertemuan itu menyaksikan Kedah dan Bomba saling mencuri mata dalam set pertama dan pasukan dari utara berkenaan merapatkan kedudukan kepada 7-8 apabila servis Irsyad gagal disempurnakan dan ketika kedudukan terikat 9-9, Bomba menampilkan aksi lebih kemas dan mendahului untuk unggul 21-19.

Kedah bangkit dalam set kedua dan mendahului Bomba pada awal perlawanan, namun selepas kedudukan terikat 9-9, Bomba lebih mengasak dan akhirnya menang 21-16.

Set pertama di antara Melaka Titans dan MASUM UPM Knights pula berlangsung seimbang menerusi corak permainan menarik dengan kawalan gelanggang dan kemahiran individu menjadi tumpuan apabila hingga saling berbalas mata.

Posted by SepakTakraw League on Wednesday, September 9, 2020



Namun, perejam Melaka berusia 21 tahun, Asyraff Zawawi, paling mencuri tumpuan untuk membawa kemenangan set pertama 21-17.

Bersambung set kedua, MASUM UPM Knights yang dibimbing Hafizi Manap kembali menyusun permainan dan cuba melakar kebangkitan untuk mengheret perlawanan ke set ketiga, namun gagal mengekang kemaraan Melaka yang menoktahkan kemenangan 21-14 bagi merekodkan kemenangan kedua.

Keputusan lain:

Putrajaya Cyborg mng PSM Mavericks 16-21, 21-16, 21-12

Terengganu Turtles mng Perlis Vipers 21-15, 13-21, 21-15