Perak Bison memburu permulaan baik apabila membuka kempen Liga Sepak Takraw (STL) bertemu Terengganu Turtles di Stadium MABA, Kuala Lumpur, esok.

Ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail, berkata kemenangan dalam perlawanan pembukaan itu penting bagi meletakkan pasukan itu di landasan betul untuk mengharungi kempen musim ini.

"Insha-Allah, kami cuba dapatkan mata penuh sebagai bekalan bagi menyemarakkan semangat untuk perlawanan seterusnya.

"Saya yakin dengan pemain saya. Apa yang saya nampak, pemain begitu bersungguh-sungguh sewaktu sesi latihan.

"Saya berharap mereka akan menterjemahkan sikap positif itu dalam perlawanan nanti," katanya.

Perlawanan kedua Perak ialah bertemu juara bertahan, Penang Black Panthers, Ahad ini.

Jurulatih yang mengemudi Perak menduduki tempat keempat tahun lalu itu berharap anak buahnya dapat memperbaiki pencapaian berkenaan.

Perak menampilkan lapan pemain, termasuk dua tekong dari Thailand, Surasit Phukbuangern dan Nattawut Naewprom.

Lima pemain musim lalu yang dikekalkan ialah Muhammad Fadzil Mustapa, Muhammad Azwan Muhrim, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Yus Hanif Rosli.

Begitupun, Ismi sedar laluan sukar yang menanti anak buahnya kerana semua pasukan telah membuat persediaan rapi.

"Apapun, saya yakin dengan kebolehan dan bakat pemain saya.

"Kami akan fokus perlawanan demi perlawanan dan membuat percaturan berdasarkan lawan yang ditemui," ujarnya.