Nama-nama pemain kebangsaan menjadi tumpuan dalam pertembungan membabitkan ATM Guardians dan Penang Black Panthers dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, petang tadi.

Perejam ATM, Afifuddin Razali, menjadi tumpuan menerusi variasi bijak untuk menyumbangkan mata awal sebelum dua mata sumbangan tekong, Hairul Hazizi Haidzir, sekembali dari 'time out' untuk menjadikan kedudukan 11-4.

Ketua pasukan, Norfaizzul Abd Razak, selaku apit kiri pula memastikan ATM terus bermain tanpa tekanan dan menerusi satu lambungan cantik kepada Afifuddin Razali untuk mengesahkan kemenangan set pertama 21-7.

2-0 Kemenangan buat ATM harini menewaskan Penang. #STL2020 #INIMILIKKITA

Posted by SepakTakraw League on Wednesday, December 16, 2020


Penang berusaha mencari mata terutama dari kapten, Zulhusni Basri, dalam set berikutnya.

Begitupun, dia juga kerap terperangkap dengan hantaran ATM seperti ketika di kedudukan 8-4, sementara servis Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican -- yang menggantikan Said Ezwan Said De sejak set pertama -- pula beberapa kali gagal melepasi jaring yang menyaksikan mereka ketinggalan 7-13.

Kemasukan Madzrul Aziq Mat Tahir, yang menggantikan Amir Syahiran Mohd Fuzi, kemudian menghidupkan permainan Penang dengan meraih mata kesembilan.

Namun, kejayaan ATM semakin sukar dikekang apabila mudah menamatkan perjuangan lawan 21-12 menerusi libasan Afifuddin.

"Mencabar Kuala Lumpur Thunders bukan perkara mudah, lagipun mereka belum pernah kalah.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk pasukan kami," kata Norfaizzul mengenai peluang ATM mencabar kedudukan Kuala Lumpur di persada STL.