Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) membenarkan penyertaan pemain import dalam Liga Sepak Takraw (STL) yang bermula Jumaat ini.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, berkata kebenaran itu turut melibatkan barisan pengadil yang bernaung di bawah badan induk berkenaan tetapi bergantung kepada syarat yang perlu dipatuhi.

ASTAF mencapai keputusan itu selepas mengadakan mesyuarat secara maya bersama wakil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) malam tadi.

Perkhabaran terbaru itu sudah pasti memberikan kelegaan buat pasukan yang bergantung kepada pemain import seperti Penang Black Panthers, Perak Bison dan Johor Tigris untuk memulakan saingan kategori perdana minggu ini.

ASTAF, dalam pada itu, turut menasihatkan PSM agar mematuhi segala peraturan permainan yang ditetapkan mereka dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) seandainya tidak mahu kebenaran itu ditarik balik.

Abdul Halim, dalam satu temu bual bersama bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, berkata: "Pihak ASTAF telahpun berfikir dengan sebaik mungkin dan kami telah menerima rayuan yang dikemukakan oleh Datuk Sumali Reduan selaku naib pengerusi yang mengendalikan STL.

"Saya telah memberikan rekomendasi saya kepada ibu pejabat kami di Bangkok malam tadi supaya dapat menimbangkan untuk memberikan ruang kepada empat orang pemain import untuk menyertai pasukan-pasukan negeri.

"Dalam hal ini, kami juga menekankan kepada pihak penganjur STL agar memastikan bahawa pemain import daripada negara Thailand ini mempunyai pelepasan daripada Jabatan Imegresen Malaysia atau Pas Kerja Khas yang diberikan buat mereka.

"Maka daripada itu, Halim dan ASTAF mencadangkan agar pemain berkenaan memulakan saingan pada minggu kedua atau ketiga seandainya tidak dapat bermula pada Jumaat ini.

"Saya sudah menyatakan kepada perwakilan yang bertemu saya semalam bahawa saya dan ASTAF bersedia untuk memberikan kebenaran sementara kepada pengadil sepak takraw yang di bawah kuasa ASTAF untuk membantu menjalankan tugas.

"Tetapi kebenaran sementara itu boleh ditarik balik oleh ASTAF pada bila-bila masa," katanya.