All Sports Television Network (ALL SPORTS) yang berpangkalan di Amerika Syarikat telah mengumumkan bekerjasama dengan Astro untuk menyiarkan Liga Sepak Takraw (STL).

Berdasarkan perjanjian itu, saluran itu juga akan menyiarkan acara daripada pertandingan sepak takraw antarabangsa, kebangsaan dan serantau.



"Kami sangat gembira dapat memperkenalkan sepak takraw kepada masyarakat Amerika," kata Presiden ALL SPORTS, Roger Neal Smith.

"Menyiarkan perlawanan lebih jauh mencapai tujuan kita untuk membuka pintu dunia sukan kepada peminat Amerika, yang membolehkan mereka mula mengenali acara dari seluruh dunia."


Lee Choong Khay, Ketua Sukan Astro, berkata, "Kami sangat gembira bahawa sukan ini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"STL yang diperkenalkan Astro Arena merupakan pertandingan sering dinanti-nantikan seluruh Malaysia sejak lapan musim lalu manakala turut menarik penonton dan penyertaan dari negara serantau sejak beberapa musim yang lalu.

"Menerusi STL, kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan lagi sukan serta atlet sepak takraw.

"Liga ini menampilkan persaingan tahap tertinggi yang akan menggembirakan peminat dan penonton baru untuk sukan ini.

"Dengan STL bakal ditonton buat pertama kalinya di wilayah lain melalui ALL SPORTS, kami berharap dapat menambahkan lebih banyak peminat dan atlet sepak takraw."

Ini bukan kali pertama STL terlibat dengan penyiar antarabangsa kerana TVRI Indonesia sebelum ini menyiarkan Piala Juara-Juara STL pada tahun 2019.

Sebelum pandemik COVID-19, ia juga menarik penyertaan dari kelab antarabangsa yang berpusat di Thailand, Indonesia, Korea Selatan, China dan Singapura.

Kuala Lumpur Thunder merupakan juara bertahan Liga Perdana dan Piala Juara-Juara STL, manakala Bomba Fighters memenangi saingan divisyen 1 musim lalu.