Ibarat keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.

Itu situasi yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan bekas pemain sepak takraw negara susulan terbocornya senarai jawatankuasa bayangan yang bakal menggantikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Dalam laporan wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini, beberapa nama dilihat tidak relevan untuk berada dalam pucuk pimpinan baru itu.

Satu senarai nama terdiri daripada 12 jawatankuasa tertinggi dan 13 jawatankuasa kecil telah tersebar -- dipercayai exco bayangan yang akan mengisi portfolio entiti baru bagi menggantikan badan induk tempatan itu.

Bagaimanapun, beberapa nama mengundang rasa kurang senang kerana ia merupakan individu daripada rejim lama yang pernah berada dalam PSM selain nama yang langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sukan itu.

Malah, ia turut kanmencetus persoalan tatkala persatuan baru itu masih belum secara rasmi menghantar permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS), apatah lagi membentuk perlembagaan persatuan.

"Senarai nama tersebut dilihat tidak memenangkan mana-mana pihak.

"(Perkara) utama ialah kenapa senarai nama tersebut kenapa dibuat lebih awal sedangkan persatuan belum wujud, perlembagaan belum wujud.

"(Apa) yang menjadi tanda tanya ialah, (wujudnya jawatan) timbalan presiden dua," kata pemenang pingat perak Sukan Asia Bangkok 1998, Rommi Norsal.



Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Halim Kader, menepis dakwaan bahawa dia mencampuri urusan itu.

Ssetiausaha agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) itu turut menjelaskan badan dunia tersebut dalam perhatian untuk ambil tindakan lebih agresif terhadap bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, berdasarkan beberapa pertuduhan yang diterima.

Antaranya insiden menyerang pengadil ketika Sukan SEA Filipina 2019 -- membiaitkan perlawanan di antara skuad wanita Malaysia menentang Thailand.

"Kami merujuk kepada dokumen dan bukti yang merujuk (berdasarkan) perlembagaan ASTAF, saya bukan sesuka hati membuat tuduhan dan menjatuhkan hukuman.

"Ini satu perbuatan yang dilakukan mantan presiden PSM sendiri dan dia (kini) mengheret PSM," kata Halim.