Fabio Quartararo melakar sejarah tersendiri dalam MotoGP apabila muncul sebagai pelumba pertama yang menyambar empat petak depan berturut-turut Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez.

Pelumba Monster Energy Yamaha berusia 22 tahun itu, yang mengungguli dua perlumbaan terakhir di Jerez selepas meraih petak utama, menetapkan penanda aras awal dengan catatan 1 minit 36.807 saat dalam sesi pertama (Q1).

Masa yang dirakamnya itu dipintas oleh bekas rakan sepasukan, Franco Morbidelli, yang pada satu ketika 0.005 lebih pantas.

Sungguhpun usaha pertama Quartararo sudah memadai untuknya menjamin kedudukan di barisan hadapan, dia masih bersemangat untuk melakukan yang lebih baik lagi.

Dia kemudian mengakhiri sesi kelayakan dengan catatan terbaik 1:36.775s untuk meraih petak pertama dengan kelebihan 0.057s berbanding pencabarnya yang mewakili Petronas Yamaha itu.

"Rasanya sangat baik hari ini," kata penunggang Perancis itu kepada laman sesawang rasmi pasukannya.

"Jerez adalah salah satu trek yang sangat saya gemari. Saya pernah menunggang Yamaha sebanyak empat kali di trek ini dan keempat-empatnya menyaksikan saya menyambar kedudukan utama. Ini adalah satu detik yang sangat mengagumkan, saya sangat gembira keputusan ini.




"Sesi Q2 hari ini saya berada di tahap yang lebih tinggi. Saya hampir mengalami kemalangan di selekoh keenam dan 13. Saya membuat kesilapan di selekoh keenam tetapi apa yang penting hari ini ialah kami meraih kedudukan utama.

"Perlumbaan esok (malam ini) bukan mudah tapi saya sudah bersiap sedia dan saya ada potensi yang baik.

"Penggunaan tayar sederhana dan keras berfungsi dengan baik, jadi kami akan menggunakan sesi pemanasan esok untuk memutuskan tayar mana satukah yang akan kami gunakan."

Dua pelumba Ducati, Jack Miller dan Francesco Bagnaia, masing-masing akan bermula di petak ketiga dan keempat -- di depan pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami.

Sementara itu, bekas juara dunia daripada Repsol Honda, Marc Marquez, mempamerkan prestasi kelayakan terburuk dalam kariernya dan akan memulakan perlumbaan hujung minggu ini di petak ke-14.

Kedudukan kelayakan:

1. Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha) 1:36.775
2. Franco Morbidelli (Petronas Yamaha) + 0.057s
3. Jack Miller (Ducati) + 0.105s
4. Francesco Bagnaia (Ducati) + 0.205s
5. Takaaki Nakagami (LCR Honda) + 0.253s
6. Johann Zarco (Pramac Racing) + 0.299s
7. Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) + 0.315s
8. Aleix Espargaro (Aprilia) + 0.330s
9. Alex Rins (Suzuki Ecstar) + 0.369s
10. Joan Mir (Suzuki Ecstar) + 0.399s
11. Brad Binder (Red Bull KTM) + 0.712s
12. Stefan Bradl (Honda HRC) + 0.747s