Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) seakan-akan "sudah retak menanti belah" apabila tiga lagi persatuan negeri mengumumkan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu hari ini.

Hampir kesemua persatuan yang menarik diri itu mengekalkan naratif sama , iaitu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PSM selepas dipalit kontroversi dan digantung Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Keadaan itu menjadi lebih buruk apabila ASTAF mengumumkan bahawa PSM telah disingkirkan daripada menjadi sebahagian ahli gabungan mereka semalam.

Sejak Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) memulakan gelombang pengunduran diri daripada PSM pada 9 Mei lalu, sebanyak sembilan persatuan negeri telah mengambil langkah sama, dengan yang terbaru diumumkan oleh Persatuan Sepaktakraw Perak (Persedar), Persatuan Sepaktakraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) hari ini.

Presiden Pestans, Wan Mohd Husni Abdullah, berkata kepada Nadi Arena: "Saya juga mengharapkan kemelut ini akan segera berakhir dan perancangan untuk mengadakan persatuan sepak takraw yang baru akan segera diwujudkan kerana kami tidak mahu menunggu lama dan ia akan menyebabkan banyak lompong-lompong sehingga tiada pembangunan dan pertandingan.

"Saya melihat apabila ada satu entiti yang baru, mungkin akan lambat sedikit tetapi saya harap rakan-rakan yang telah diberikan mandat itu akan menyegerakannya."