Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Ibrahim Mohd Yusof, meminta agar Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas presiden badan induk negara itu, Datuk Seri Ahmad Ismail, digantung selama 15 tahun.

Jelasnya, tindakan berdiam diri hanya akan mengeruhkan keadaan, terutama selepas sembilan persatuan negeri menarik diri daripada menjadi sebahagian ahli gabungan PSM.

PSM kini mempunyai tempoh sehingga 3 Jun ini untuk menghantar rayuan kepada ASTAF.

PJS menjelaskan bahawa pihaknya masih enggan campur tangan dalam kemelut itu kerana masih ada ruang untuk ia diselesaikan secara dalaman.

Antara langkah yang boleh dilakukan PSM ketika ini adalah menghantar rayuan kepada ASTAF untuk mengurangkan hukuman atau berbincang sesama ahli gabungan mereka bagi menetukan hala tuju badan induk itu.

Apa yang pasti, PJS pada ketika ini masih mengiktiraf PSM sebagai badan induk sepak takraw negara.

"Pembubaran PSM bukan berlaku secara automatik. Berdasarkan perlembagaan, ia memerlukan dua pertiga daripada (undian) ahli gabungannya dan diputuskan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM)," kata Ibrahim seperti yang dipetik Astro Arena.

"Ia bukannya apabila disingkirkan oleh ASTAF akan automatik dibubarkan, ia tidak seperti itu.

"Setiap badan sukan tertakluk kepada perlembagaan masing-masing," katanya.

Sebagai rekod, Ahmad memegang jawatan presiden PSM sejak 2002.

Dia didakwa bersalah dalam empat bertuduhan termasuk melanggar Artikel 5.5 Peraturan ASTAF selepas menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk meminta campur tangan bagi keputusan pemilihan kongres ASTAF pada 1 Mac lalu.