Kurang lapan bulan menjelang Sukan SEA Vietnam pada Mei tahun depan, skuad ping pong negara menerima tamparan hebat apabila tonggak utama, Ashraf Haiqal Rizal, mengumumkan untuk menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Selepas 10 tahun berkhidmat bersama di bawah naungan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), pemain berusia 27 tahun itu kini memilih untuk bergerak secara profesional dan akan ke Arab Saudi bagi menyertai Kelab Ping Pong Al Fateh.

Mengenai cabaran baru yang akan dihadapinya, Ashraf Haiqal berkata kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri: "Sekarang (di Arab Saudi) mereka membenarkan setiap kelab untuk memiliki seorang pemain import.

"Ia agak berbeza dengan di Eropah, di mana setiap kelab boleh memiliki dua hingga tiga pemain import.

"Jadual perlawanannya juga lebih kurang sama seperti di Eropah, ada perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan, setiap minggu akan ada satu perlawanan.

"Satu musim di sana akan mengambil masa selama lima bulan."

Bercakap mengenai statusnya bersama skuad kebangsaan, dia menambah: "Mereka (TTAM) ada merancang untuk menhantar atlet muda ke Hanoi, jadi saya rasa lebih baik untuk saya melepaskan peluang itu dan memberikannya buat pemain pelapis.

"Saya rasa mungkin saya tidak akan lagi mewakili skuad kebangsaan.

"Saya sudah memaklumkan kepada persatuan bahawa saya tidak lagi akan bersama skuad kebangsaan kerana sudah mendapatkan tawaran yang lebih baik."