Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, tetap berpuas hati dengan kejayaan pasukan itu menduduki tempat ketiga Piala Juara-Juara STL yang berakhir di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru malam tadi.

Walaupun hasrat meraih gelaran berganda tidak kesampaian, dia tetap berbangga dengan pencapaian anak didiknya melangkah jauh dalam kejohanan itu.

"Syukur Alhamdulillah. Kami dapat tempat ketiga. Ia tetap pencapaian yang baik.

"Tahniah dan syabas kepada setiap pemain. Mereka telah memberi persembahan terbaik," katanya mengulas kejayaan Perak Bison meraih tempat ketiga, sekali gus membawa pulang RM7,000.

Tuan rumah, Johor Tigris, muncul juara baru kejohanan itu selepas mengatasi juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-0 dalam final.

Mengimbau perjalanan pasukan sejak bermula kejohanan pada 22 Disember lalu, Ismi berkata anak buahnya mengharungi jadual ketat dan terpaksa bertarung sengit dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Pengendali itu juga mendedahkan bahawa dia tidak dapat membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan Piala Juara-Juara itu kerana kekangan kerja.

"Kami hanya sempat berlatih bersama-sama beberapa hari saja sebelum berlepas ke Johor Bahru kerana masalah mengumpulkan pemain.

"Jadi, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa berikutan persembahan longlai kami ketika menentang Johor Tigris dalam separuh akhir," katanya.


Editor: Nafis Abdullah