Peminat Formula 1 (F1) dan MotoGP tidak dapat menyaksikan perlumbaan Grand Prix Australia tahun ini selepas kedua-dua acara itu dibatalkan gara-gara pandemik COVID-19.

GP F1 Australia sepatutnya dijadualkan dari 18 hingga 21 November depan di Albert Park selepas perlumbaan di Melbourne itu turut dibatalkan pada 2020 kerana pandemik berkenaan.

Saingan MotoGP di Phillip Island pula sepatutnya bermula pada 24 Oktober depan.

Bagaimanapun, penganjuran kedua-dua perlumbaan itu kini dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut berikutan larangan dan cabaran logistik yang berkaitan disebabkan pandemik berkenaan.

Dengan GP Australia telah dikeluarkan daripada kalendar MotoGP, Grande Premio do Algarve akan menggantikan slot itu pada 5 hingga 7 November depan dan GP Malaysia pula dianjakkan lebih awal pada 22 hingga 24 Oktober depan.