Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, mengambil keputusan untuk berpisah dengan jurulatih, Dwayne Miller, selepas dua tahun berguru dengannya.

Atlet ditangga keempat 100 meter Sukan SEA 2019 itu kembali ke pangkuan bekas pengendalinya, M Balamurugan, dengan sasaran menaiki podium Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia, bulan depan.

Nyepa menyusuli jejak Haikal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan untuk meninggalkan pengendali kelahiran Amerika Syarikat yang dilantik sejak 2019 itu.

"Tiada isu di antara kami, semua bentuk latihan yang diberikannya saya turuti.

"Cuma kini saya mahu mendapatkan rentak berlatih di bawah Balamurugam.

"Saya perlu melihat tahap prestasi sendiri. Saya perlu selesa berlatih yang boleh bantu saya meningkat," kata atlet kelahiran Sarawak itu.

Dalam masa sama, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi Miller yang pada awalnya menjawat peranan sebagai pengarah teknikal olahraga negara.

"Miller memberi perhatian kepada atlet 100 dan 200m kebangsaan dan dia juga mempunyai kepakaran dalam 400m.

"Oleh kerana itu, atlet-atlet ini tidak sesuai dengan Miller tetapi kami belum membincangkannya dengan atlet.

"Kontrak Miller dengan kami masih terikat dan kami harap ia dapat diselesaikan dengan baik," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.