Ketua jurulatih Brooklyn Nets, Steve Nash, menjelaskan pasukan itu tidak akan berpindah ke tempat latihan lain hanya kerana Kyrie Irving belum memenuhi syarat vaksin COVID-19.

Irving terlepas latihan semalam berikutan protokol yang ditetapkan untuk pandemik itu di New York, iaitu larangan tidak membenarkan sesiapa yang tidak divaksinasi daripada memasuki arena sukan, restoran dan tempat awam yang lain.

Bintang Nets itu akan dihalang daripada beraksi di laman sendiri termasuk kehilangan sebahagian besar gajinya jika dia tidak mengambil vaksin.

Ketika ditanya apakah Nets mempertimbangkan latihan di luar New York, Nash memberitahu wartawan: "Tidak, ini adalah venue kami. Di sinilah kami akan berlatih dan kami mempunyai hampir keseluruhan kumpulan.

"Jadi ia sesuatu yang positif dan setiap hari kami hanya berusaha untuk menjadi lebih baik selain memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang dalam kawalan kami."

Dalam soal menangani situasi Irving itu, Nash berkata: "Belum ada maklumat lanjut. Kami menyokongnya. Kami di sini untuknya. Segala-galanya berubah. Apabila ada jalan penyelesaiannya, kami ada di sini untuknya."

"Saya tidak terlalu bimbang," tambahnya dengan Nets akan membuka musim ini menentang juara bertahan, Milwaukee Bucks, pada 20 Oktober depan.

"Kami hanya berusaha setiap hari.

"Kami turun menjalani latihan yang hebat pada hari ini dan esok kami akan melakukan perkara yang sama, itu sahaja setakat ini."

Irving tidak dapat menghadiri sidang media Nets secara langsung di Brooklyn pada hujung bulan lalu.





"Saya sedar bahawa saya akan berada di sana setiap hari tanpa mengira apa pun dan akan hadir demi rakan sepasukan sebagai salah seorang pemimpin pasukan dan berdiri teguh dengan pendirian saya mengenai perkara di luar gelanggang," kata Irving pula.

"Saya tahu sepanjang masa tumpuan saya harus berada di tahap tertinggi, tidak terganggu. Ini adalah perkara terakhir yang saya mahu lakukan, ada lebih banyak gangguan dan drama dalam persekitaran ketika ini. Saya melakukan yang terbaik untuk kekal dengan hasrat dan hati yang baik."