Kepulangan Nikola Jokic jelas menjadi tonik terbaik buat Denver Nuggets dalam menewaskan Miami Heat 120-111 dalam NBA hari ini.

Jokic terlepas empat perlawanan berturut-turut kerana kecederaan pergelangan tangan pada ketika Denver berdepan rekod enam perlawanan terburuk sejak musim 2014-15.

Lebih menarik, ia juga merupakan pertemuan pertama di antara Nuggets dan Heat selepas insiden melibatkan Jokic dan pemain Miami, Markieff Morris, pada 8 November lalu.

Jokic digantung satu perlawanan selepas menolak Morris ke lantai -- bintang Nuggets itu meluru ke arah pemain veteran Heat berkenaan dan menolaknya ke lantai kerana berang dengan kekasaran yang dilakukan Morris -- menyiku dada lawan itu.

Ketika Heat kelihatan tempang tanpa Morris -- yang terlepas 11 perlawanan berturut-turut berikutan insiden itu -- penyokong di Miami jelas tidak menggemari keberadaan Jokic dengan mengejek pemain itu setiap kali dia menyentuh bola.

Bagaimanapun, Jokic tidak menghiraukannya dan merekodkan 24 mata, 15 rebound dan tujuh bantuan untuk membantu kemenangan Nuggets.

Double-doubles daripada Bam Adebayo (24 mata dan 13 rebound) dan Kyle Lowry (17 mata dan 14 bantuan) juga tidak cukup untuk memacu kebangkitan Heat.