Marc Marquez kembali memanjat podium tertinggi dalam perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi manakala Fabio Quartararo pula semakin hampir untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Dunia MotoGP musim ini.

Juara enam kali kategori perdana, Marquez, tidak dapat menamatkan sebarang perlumbaan musim lalu gara-gara kecederaan dan bergelut dengan masalah kecergasan musim ini, sekali gus tidak dapat bersaing dalam perebutan kejuaraan keseluruhan.

Bagaimanapun, pelumba Repsol Honda itu mempamerkan bakat sebenarnya untuk memenangi kejuaraan kedua musim ini di Texas.

Marquez memenangi 10 daripada 11 perlumbaannya di AS dan hanya tewas ketika gagal menamatkan perlumbaan pada 2019.

Dia bermula di petak ketiga tetapi memimpin perlumbaan sejak selekoh pertama dan tidak pernah dapat dipintas sehingga ke garisan penamat.

Dalam pada itu, Quartararo mengekori rapat Marquez ke garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan selaku naib juara buat kali kedua berturut-turut, sekali gus melebarkan kelebihannya dalam carta kedudukan keseluruhan.

Pencabar terdekatnya, Fabio Bagnaia, memulakan perlumbaan itu di petak utama buat kali ketiga berturut-turut tetapi tidak dapat meneruskan rentak kemenangannya untuk sekadar berpuas hati dengan tempat ketiga.

Dengan itu, dia kini ketinggalan 52 mata di belakang Quartararo berbaki tiga perlumbaan musim ini.