Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018 bakal membuka tirai esok tatkala empat pasukan bakal membawa cabaran Malaysia untuk meraih keputusan lebih baik berbanding edisi lalu.

Dalam mengejar misi tersebut, pasukan seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC) dan juga Forca Amskin Racing memilih untuk menggunakan tenaga import dalam melaksanakan sasaran masing-masing.

Bagi Mohamed Harrif Salleh yang mewakili pasukan TSG, dia optimis akan peluang pasukannya selepas menyaksikan kehadiran tiga tenaga import bagi menghadapi kempen kali ini.

"Untuk persiapan TSG pada tahun ini, kami telah menjalani sesi latihan di Australia untuk menghadapi LTDL. Setakat ini, saya rasa kami tidak berdepan sebarang masalah.

"Sasaran kami sedikit berbeza memandangkan kini kami telah disertai oleh tiga tenaga import, berbanding sebelum ini yang hanya mempertaruhkan wakil tempatan. Jadi, kami menyasarkan kejayaan secara berpasukan dan individu," kata Harrif.

Dalam edisi 2016, TSG meraih kejayaan besar apabila meraih status Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia ketika itu menerusi Muhamad Adiq Husaini Othman dan bagi Harrif, rakan sepasukannya, Mohd Shahrul Mat Amin, dilihat berpeluang untuk mendapatkannya kali ini.

"Peluang untuk Jersi Asia pada tahun ini, kami memiliki Shahrul yang merupakan pelumba terbaik Malaysia pada tahun lalu. Kami akan merangka strategi untuknya, namun dalam masa sama ia juga satu peluang terbuka buat semua."