Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi jaminan semua kemudahan venue Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan mendapat pengiktirafan badan dunia sebelum temasya dwi-tahunan itu bermula, bulan depan.

Beberapa venue seperti gelanggang luncur ais di Empire City dan trek olahraga Stadium Nasional Bukit Jalil masih belum mendapat pengiktirafan badan dunia.

Ia susulan kelewatan kemudahan ini disiapkan serta permukaan ais di Empire City terpaksa dibina semula kerana tidak rata.

"Saya yakin kami memiliki masa yang secukupnya untuk menyediakan venue serta mendapatkan pengiktirafan badan dunia," katanya.

Masalah ini juga dikhuatiri membabitkan venue acara lain dan jika gagal mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa, maka catatan dan pencapaian atlet tidak akan diiktiraf di peringkat dunia.

Terdahulu, Khairy menghadiri majlis pelancaran liputan Sukan SEA oleh Astro Arena di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setakat ini, pengiktirafan sedang dinantikan bagi beberapa venue, termasuk gelanggang luncur ais yang baru siap dan sedia digunakan di Empire City, Damansara Perdana tetapi jika segala-galanya berjalan lancar, ia akan dapat diselesaikan sebelum acara itu bermula.

"Sijil pengiktirafan antarabangsa adalah sangat penting bagi memastikan pencapaian atlet negara dapat dicatatkan secara rasmi," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.