Juara Grand Prix Malaysia, Mohd Arshad Md Saat, menetapkan sasaran untuk menumbangkan dua pencabar utama dalam Kejohanan Olahraga Under Distance di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mereka merupakan juara Sukan SEA, Mohd Haiqal Hanafi dan juara remaja kebangsaan, Mohd Azeem Mohd Fahmi.

Apa yang menarik, mereka akan bersaing dalam acara pecut 60 meter.

"Saya meletakkan sasaran untuk mengatasi Haiqal dan Azeem dalam kejohanan ini. Tekanan tidaklah begitu tinggi kerana meletakkan kejohanan ini sebahagian daripada latihan menjelang kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang," kata Arsyad.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Manshahar Abdul Jalil, mengesahkan juara lompat jauh Paralimpik Tokyo, Abd Latif Romly tidak akan beraksi, Sabtu ini.

Ini kerana jaguh kelahiran Perlis itu masih berehat dan sedang merangka program latihan baru.

Pemegang rekod kebangsaan, Andre Anura Anuar, juga tidak akan menyertai acara itu.

Ia menyaksikan acara lompat jauh bakal dicabar lapan atlet muda negara.