Lewis Hamilton tidak menjangka dapat meraih kelebihan 59 mata dalam Kejohanan Formula Satu selepas memanfaatkan kegagalan Sebastian Vettel untuk memenangi Grand Prix Jepun di Litar Suzuka, hari ini.

Pelumba Britain itu, yang bermula di petak pertama, meraih kemenangan kelapan untuk memperoleh kelebihan 59 mata ke atas pesaingnya dari Ferrari, Vettel.

Ia adalah hari yang sangat mengecewakan bagi pelumba Jerman itu apabila terpaksa menarik diri selepas empat pusingan akibat masalah enjin, ketika Hamilton menerima tentangan sengit daripada Max Verstappen.

Ini bermakna pelumba Mercedes berkenaan boleh merangkul kejuaraan dunia keempat jika dia menjuarai Grand Prix Amerika Syarikat dengan syarat Vettel meraih kedudukan lebih rendah daripada tempat kelima. Bagaimanapun, Hamilton menjangkakan ia amat sukar untuk berlaku.

"Secara jujur, saya baru boleh bermimpi mempunyai jurang seperti ini. Ferrari telah memberi cabaran hebat sepanjang tahun," kata Hamilton.

"Mereka telah melakukan kerja yang luar biasa. Mereka begitu teliti dan itulah sebabnya mengapa kami mempunyai kepercayaan dan keputusan yang kami ada."

Verstappen jarang sekali ketinggalan lebih tiga saat di belakang Hamilton, dan ketika pelumba Britain itu mengadu mengalami kerosakan tayarnya pada pusingan terakhir, kedudukan itu dikurangkan dengan hanya dibezakan satu saat.

"Max (Verstappen) berlumba dengan luar biasa dan secara jujurnya bukan mudah bagi kami.

"Pelumba-Pelumba Red Bull itu kekal kompetitif dengan memperbaiki kedudukan sepanjang saingan. Jelas, kami pantas dalam pusingan kelayakan tetapi ia makin sengit khususnya selepas VSC (kereta keselamatan) keluar dan harus bermula semula. Ketika tayar begitu sejuk dan tidak berada dalam keadaan baik, dia nyata mengasak saya, jadi ia sangat sengit. "

Verstappen menewaskan Hamilton dalam Grand Prix sebelumnya di Malaysia dan mencerminkan satu lagi penampilan hebat di Red Bull.

"Ia adalah hari yang hebat sekali lagi, Suzuka benar-benar hebat bagi saya, saya suka trek ini pada tahun lalu. Hari ini sangat baik," kata Verstappen.

"Ketika menggunakan tayar yang 'supersoft', saya agak bergelut terutama di bahagian kiri depan tetapi sebaik sahaja ditukar kepada 'soft', ia sangat kompetitif dan saya selalu bersama Lewis (Hamilton), terutama dalam beberapa pusingan terakhir.

"Kami mempunyai tahap kelajuan yang sangat baik, ia hanya sukar untuk memotong. Saya memberikan segala-galanya untuk mencuba dan menutup jurang tetapi kereta makin berprestasi baik dari perlumbaan ke perlumbaan, jadi saya gembira dengan itu," katanya lagi.

Kedudukan keseluruhan pemandu:

1. Lewis Hamilton (Mercedes) 306 mata
2. Sebastian Vettel (Ferrari) 247 mata
3. Valtteri Bottas (Mercedes) 234 mata
4. Daniel Ricciardo (Red Bull) 192 mata
5. Kimi Raikkonen (Ferrari) 148 mata
6. Max Verstappen (Red Bull) 111 mata
7. Sergio Perez (Force India) 82 mata
8. Esteban Ocon (Force India) 65 mata
9. Carlos Sainz (Toro Rosso) 48 mata
10. Nico Hulkenberg (Renault) 34 mata