Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, sah akan beralih arah ke Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bermula tahun depan.

Hafizh Syahrin akan bergandingan dengan pelumba berpengalaman dari Argentina, Leandro Mercado, bersama pasukan MIE Racing Honda bagi musim 2022.

Sebelum ini, pelumba berusia 27 tahun itu dilaporkan tidak dapat meneruskan aksi dalam Moto2 musim depan berikutan kekangan kewangan dan ketiadaan penaja.

Berita terbaru ini sudah pasti memberikan kelegaan buat Hafizh Syahrin, yang pernah bersaing dalam kategori perdana Kejuaraan Dunia MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3 pada 2018.

"Yang pertama, saya mengucapkan terima kasih kepada Midori Moriwaki (Prinsipal Pasukan MIE Racing Honda) kerana datang dari Jepun ke Valencia, iaitu perlumbaan terakhir saya di MotoGP sebagai pelumba Moto2 sebelum akan berlumba di WSBK pada 2022 dengan MIE Honda Racing.

"Jadi saya harap dapat berikan terbaik. Saya juga berterima kasih kepada keluarga, terutama yang selalu menyokong saya, iaitu ayah saya, isteri dan rakan-rakan serta peminat," katanya dalam satu video kepada media hari ini.

A post shared by Hafizh Syahrin Abdullah (@hafizh_syahrin)