Fabio Quartararo teruja dengan prospek persaingan sengit merebut gelaran MotoGP dengan bekas rakan sepasukannya, Joan Mir, tatkala dia memasang hajat untuk melebarkan kelebihan dalam perlumbaan di tanah air sendiri hujung minggu ini.

Melangkah ke Grand Prix (GP) Perancis, hanya lapan mata memisahkan juara GP Catalan itu dengan pencabar terdekatnya tersebut yang meraih tempat kedua di Barcelona minggu lalu.

Empat tahun yang lalu, kedua-dua pelumba itu merupakan rakan sepasukan di kem Leopard dalam kancah Moto3 dan mencipta kemajuan dalam karier bersama-sama termasuk melakukan kemunculan dalam kelas perdana tahun lalu.

Quartararo menikmati cabaran bersaing dengan pelumba Suzuki Ecstar itu pada minggu-minggu terakhir musim ini.

"Sudah pasti, kami berada dalam posisi yang lebih baik kerana tahun itu bagi saya adalah bencana besar," kata Quartararo kepada Motorsport mengenai kempen 2016.

"Jadi, ia satu perkembangan yang bagus kerana kami masih dapat menjaga hubungan kami dan sekarang kami di kedudukan 1-2 dalam pemburuan kejuaraan. Tahun lalu kami diberi kesempatan pertama tetapi kali ini kami berjuang merebut kejuaraan, jadi ini kisah yang menarik."



Quartararo berharap dapat muncul sebagai pelumba tempatan pertama yang mengungguli GP Perancis sejak Jacques Collot melakukannya pada 1958.

Dengan tiga kemenangan, dia sudah menyamai jumlah kejayaan yang dicatatkan oleh mana-mana pelumba Perancis dalam sejarah MotoGP.

Sementara itu, Mir mengintai podium ketiga berturut-turut buat julung kalinya dalam MotoGP, satu rekod peribadi yang akan menjadi sasarannya.

Dia sudah mengumpul 100 mata dalam lapan perlumbaan 2020 berbanding musim lalu, 92.