Skuad hoki wanita negara memburu pengiktirafan dengan mengetepikan badi sebagai pasukan belasahan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, bermula esok.

"Semestinya dalam setiap perlawanan yang kami hadapi, kalaulah boleh kejutkan pasukan yang kuat, ia adalah satu bonus buat kami.

"Kami tahu, pasukan-pasukan besar tidak pandang Malaysia. Mereka cuba memperkecilkan Malaysia. Tetapi kami akan cuba mengewakan mereka," kata kapten pasukan negara, Siti Noor Amarina Ruhani.

Dalam temasya di Glasgow pada 2014, Malaysia memungut satu mata dalam peringkat kumpulan selepas seri tanpa jaringan dengan Wales.

Ia memadai untuk membawa mereka ke klasifikasi tempat ketujuh-kelapan sebelum mereka kemudian menewaskan Kanada dalam penentuan pukulan penalti.

Di Gold Coast, Amarina dan The Malaysian Tigress sedar apa yang mereka mahukan adalah sesuatu yang mirip dengan pencapaian edisi 2006 di Melbourne.

Pada ketika itu, mereka melakar dua kemenangan dalam aksi kumpulan sebelum kecundang bermaruah 0-3 di tangan Scotland.

"Saya melihat kematangan pemain dalam edisi kali ini adalah sangat baik. Saya yakin kami dapat memberikan prestasi yang baik untuk menyaingi pusukan lain.

"Dalam persiapan pasukan, jurulatih sudah memberikan tunjuk ajar dalam aspek taktikal pasukan lawan seperti India.

"Ia bagi melihat bagaimana cara permainan mereka. Kami juga membuat kajian dan cuba praktikkan semasa sesi latihan," kata Siti Noor Amarina lagi.