Kemelut dalaman membabitkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama pihak G11 tampak masih belum terlerai dan telah berlanjutan selama empat bulan lamanya.

Dalam tempoh ini, banyak perkara tertangguh dan tempiasnya turut terkena barisan pemain, khususnya di peringkat negeri.

Tatkala sukan lain rancak berlangsung dan sebagainya, perkembangan sepak takraw tempatan terhenti dan ia bakal memberi kesan jangka masa panjang jika pihak atasan masih gagal mencapai kata putus.





Bekas perejam kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani, merangkap jurulatih Terengganu Turtles itu mengenai tampil melontarkan pandangannya berhubung situasi yang menghimpit ramai berkenaan.

"Ia perlu dipercepatkan kerana akan memudahkan perancangan kami terhadap pemain-pemain.

"Diharap satu perkara positif (tercapai) kerana ia bukan sahaja melibatkan pemain, (malah) penggiat sepak takraw termasuk saya sebagai jurulatih bagi menentukan Sukma (Sukan Malaysia), kejohanan tempatan dan antarabangsa.

"Ia sangat penting. Persatuan perlu merancang dengan lebih agresif dan cepat," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2005 itu di Nadi Weekend hari ini.