Giannis Antetokounmpo merekodkan 41 mata untuk Milwaukee Bucks menewaskan Phoenix Suns 120-100 dalam perlawanan ketiga siri Final NBA hari ini.

Dengan Bucks ketinggalan 0-2 menjelang perlawanan itu, mereka memerlukan kemenangan sebagai respons terbaik di gelanggang sendiri, Fiserv Forum, dan Antetokounmpo membantu mereka merealisasikan perkara itu.

Antetokounmpo menamatkan perlawanan dengan 41 mata -- 14 jaringan daripada 23 percubaan -- selain 13 rebound dan enam bantuan.

Dia menjadi pemain pertama menjaringkan lebih daripada 40 mata dalam dua perlawanan Final NBA berturut-turut sejak LeBron James melakukannya pada 2016.

Jrue Holiday (21), Khris Middleton (18), Brook Lopez (11) dan Bobby Portis (11) turut menghasilkan mata dua digit buat Bucks dalam perlawanan itu.

Kemenangan selesa itu turut mengurangkan kelebihan Suns kepada 2-1 menjelang perlawanan keempat di Milwaukee, Khamis ini.