Lewis Hamilton dituduh menggunakan "cara kotor" oleh prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner, selepas berlanggar dengan Max Verstappen dalam pusingan pertama perlumbaan Formula 1, Grand Prix British, malam tadi.

Permulaan mendebarkan perlumbaan itu menyaksikan dua seteru dalam perebutan kejuaraan, Hamilton dan Verstappen, berlanggar di Copse Corner.

Jentera yang dipandu Verstappen berpusing di atas litar sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan kelihatan remuk.

Pendahulu kejuaraan itu dapat keluar dengan selamat daripada keretanya tetapi amat tidak berpuas hati, seperti yang dikongsikan Horner.

Horner berang dengan Hamilton selepas insiden yang mengakibatkan kesemua pelumba perlu kembali ke lorong pit sementara penghadang jalan yang rosak itu dibetulkan.

Verstappen dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Hamilton pula dikenakan penalti 10 saat selepas perlumbaan itu bersambung.

"Dia (Verstappen) telah ke pusat perubatan untuk menjalani pemeriksaan. Tetapi ia merupakan satu kelegaan melihatnya dapat dikeluarkan kerana selekoh itu merupakan yang terpantas dalam kalendar," kata Horner kepada Channel 4.

"Ia sememangnya tidak masuk akal (untuk Hamilton) melanggarkan tayarnya dari bahagian dalam. Ia benar-benar sudah melampau. Semua pelumba sedar anda tidak boleh terlalu rapat dari bahagian dalam di Copse.

"Dia melakukannya dan amat jelas tayar kiri depannya telah mengenai tayar kanan belakang max, di salah satu selekoh paling laju dalam kejohanan ini dan dia membuatkan dia terbabas ke pembahagi jalan.

"Syukurlah dia tidak tercedera. Seperti yang anda dapat bayangkan, kami amat sakit hati dengan perkara ini.

"Saya fikir ia adalah tindakan yang terdesak. Dia tidak dapat melakukannya pada awal perlumbaan, yang amat jelas telah mendorongnya untuk melakukannya.

"Kemudian, ia adalah kelakuan terdesak untuk menyentuhkan tayar anda dari bahagian dalam. Copse mempunyai selekoh yang paling laju di dunia, anda tidak boleh menyentuhkan tayar anda dari bahagian dalam, ia adalah cara pemanduan kotor," katanya.