Valtteri Bottas bingung dengan jentera Mercedes W12 yang sukar dipandu pada ketika Max Verstappen merekodkan masa terpantas dalam aksi pembuka tirai Grand Prix Formula 1 (F1) Barhrain semalam.

Pemandu Red Bull, Verstappen, muncul pelumba terpantas di depan Botas dalam FP1 dan mengatasi masa pelumba McLaren, Lando Norris dalam FP2 di Sakhir.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, berada di kedudukan keempat dan ketiga, masing-masing dalam FP1 dan FP2, dalam sesi ujian yang prinsipal pasukan Silver Arrow itu, Toto Wolf, berkata perkara terbaik untuk pasukannya adalah dengan dapat mengikut rentak pasukan Red Bull.

Bottas berkata mengenai jentera baru Mercedes itu menjelang perlumbaan pertama musim 2021: "Percubaan jarak jauh terakhir yang kami lakukan menyaksikan ia tidak konsisten dan saya tidak benar-benar dapat menamatkan mana-mana pusingan dan jentera ini, seperti yang saya kata, ia tidak dapat dipandu pada waktu ini.

"Agak sedikit bingung tetapi ini hari Jumaat dan kerana itu kita melakukan ujian."

Pemandu Belanda, Verstappen, yang mencatatkan masa sepusingan terpantas dengan seminit 30.847 saat, sedar Red Bull perlu membina permulaan memberangsangkan memandangkan ia satu keperluan.

Dia berkata: "Saya amat gembira tetapi esok akan menjadi hari yang berbeza, lebih berangin di mana ia akan menjadikannya sedikit sukar, jadi sekali lagi, kami perlu mencuba untuk mengatasinya tetapi apa pun, ia permulaan hujung minggu yang baik.

"Saya amat gembira sebelum ini tetapi sudah pasti kami kini perlu menunjukkan apa yang kami boleh lakukan dalam pusingan kelayakan."