Jam tangan milik Lando Norris dirampas dalam satu insiden perlawanan akhir Euro 2020, demikian disahkan pasukan Formula 1, McLaren.

Norris menghadiri perlawanan akhir di Stadium Wembley itu, di mana England tewas kepada Itali dalam penentuan sepakan penalti.

Terdapat berapa situasi sepanjang perlawanan di stadium kebangsaan England itu di mana beberapa individu tanpa tiket cuba memecah masuk untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

Selain itu, terdapat juga rakaman menunjukkan pergaduhan sesama penyokong di luar dan dalam Stadium Wembley.

Dan McLaren mengumumkan semalam bahawa pemandu mereka, Norris, "menggigil ketakutan" gara-gara satu insiden yang melibatkannya dan satu laporan polis juga telah dibuat.

Pasukan itu berkata: "McLaren Racing mengesahkan bahawa Lando Norris telah terlibat dalam satu insiden selepas perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley, di mana jam tangan yang dipakainya telah dirampas.

"Mujur Lando tidak diapa-apakan tetapi dia difahamkan menggigil ketakutan. Pasukan ini memberikan sokongan penuh buat Lando dan yakin seluruh peminat sukan permotoran akan menyertai kami untuk mendoakan yang terbaik buatnya menjelang Gran Prix British hujung minggu ini.

"Perkara ini kini dalam siasatan polis dan kami tidak boleh memberikan komen lanjut," katanya.