Liga Sepak Takraw (STL) edisi 2019 menjanjikan kelainan apabila buat julung kalinya akan menjelajah ke empat venue baru selain menjadikan gelanggang di Stadium MABA, Kuala Lumpur sebagai medan aksi pembuka tirai minggu pertama.

Jelajah ke venue baru itu akan bermula pada minggu keempat saingan di Spice Arena, Pulau Pinang, diikuti Dewan MPKC-BRI, Kota Bharu, Stadium Indera Mulia, Ipoh sebelum ke Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Sebanyak 10 pasukan bertanding dalam Divisyen Premier serta 10 lagi dalam Divisyen Satu dan empat pasukan terbaik daripada kedua-dua divisyen itu akan beraksi dalam Piala Juara STL bersama empat lagi skuad jemputan dari luar negara.

Selain itu, sebanyak lapan pemain import yang rata-ratanya dari Thailand bakal merancakkan lagi saingan, dengan tumpuan kepada bekas tekong negara Gajah Putih itu, Wirawut Na Nongkhai.

Tahun lalu, Penang Black Panthers muncul juara Divisyen Premier buat musim kedua berturut-turut serta turut meraih trofi Piala Juara sambil Negeri Sembilan Antlers mengungguli Divisyen Satu.

"Berbekalkan kehadiran pemain import, kami membawakan permainan ini ke satu tahap yang baru.

"Begitu juga dengan langkah membawa saingan ini ke luar Lembah Klang, kami harap ia dapat dinikmati oleh semua masyarakat selain menyaksikannya menerusi platform Astro," kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay.