Berikutan permulaan saingan awal musim yang agak goyah, juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder kembali menemui sentuhan apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut mengatasi Johor Tigris 2-0 dalam aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Anak buah Rashidi Nordin itu dipaksa menampilkan aksi terbaik dengan kehadiran semula tekong utama, Syahir Rosdi, sebelum menang 21-18, 21-15.

Selepas meraih kemenangan dengan menjulang Piala Sumbangsih apabila menewaskan Bomba Fighters dalam aksi pembukaan, KL Thunder dikejutkan dengan kekalahan 21-14, 21-11 kepada ATM Guardians dalam perlawanan kedua.

Juara berganda musim lalu itu terus berdepan kekecewaan apabila sekali lagi tewas kepada Penang Black Panthers dalam aksi pertama minggu kedua, namun bangkit menumpaskan Perak Bison 2-0 dan Selangor Pistons 2-1 dalam dua perlawanan berikutnya.

Dam set pertama bertemu Tigris, skuad ibu kota itu lambat panas apabila ketinggalan sebelum bangkit untuk mengejar mata demi mata bagi merampas set tersebut menerusi kemenangan 21-18.

Set kedua turut berlangsung sengit dengan jurang mata yang kecil memisahkan kedua-dua pasukan di awal permainan tetapi, KL Thunder berjaya mengumpul kembali fokus mereka untuk mengakhiri pertemuan itu dengan kejayaan 21-15

Kemenangan tersebut, menyaksikan KL Thunder mengumpul lapan mata hasil empat kemenangan daripada enam perlawanan.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians terus mempamerkan aksi bertenaga apabila mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mengatasi Negeri Sembilan Antlers 21-15, 17-21, 21-12.